Sabtu, 19 Jun 2010

SELAMAT HARI BAPA

Ramai orang dok sambut dan ingat HARI IBU. Macam-macam sambutan dan anugerah depa pi buat. Memang meriah sungguh, bangga betui wanita-wanita yang bergelar ibu. Tapi kalian jangan lupa juga, HARI BAPA. Ada orang kisah dan ada yang tak kisah sangat pun. Kekadang tu terasa la jugak, macamlah bapa ni tak banyak sumbangan atau agaknya pasai peribahasa setakat sebut BAPAK BOREK, ANAK RINTIK berbanding tentang ibu, SYURGA DI BAWAH TAPAK KAKI IBU.

Kadang-kadang tu bila anak dok buat silap atau salah, biasanya mak akan kata pada bapak, “ Haaa….tengok tu perangai anak awak, sama macam pak dia…”. Tapi bila anak dapat pujian, mulalah mak kata, “ Aiii…anak sapa, tengokla mak dia…”.

Apapun itu antara senario yang kadang-kadang kita lihat. Tapi saya percaya kita semua tak amal la perangai macam tu. Bagi saya mak atau ayah, depa semua sama. Hari ini kita kena balas balik semua pengorbanan dan jasa mereka, kerana kita juga dah jadi bapa dan punya anak. Tentunya kita jugak mahu anak-anak kita jadi manusia yang tahu membalas budi dan berjasa pada kedua ibubapa.

Disini juga saya ambil kesempatan nak ucap SELAMAT HARI BAPA kepada semua kaum adam yang sudah menjadi bapa. Moga kita mampu menjadi contoh terbaik kepada anak-anak kita.

PANTUN

Pantun Nasihat

Angin teluk menyisir pantai
Hanyut rumpai di bawah titi
Biarlah buruk kain dipakai
Asal pandai mengambil hati

Pergi mendaki Gunung Daik
Hendak menjerat kancil dan rusa
Bergotong-royong amalan yang baik
Elok diamalkan setiap masa

Air melurut ke tepian mandi
Kembang berseri bunga senduduk
Elok diturut resmi padi
Semakin berisi semakin tunduk

Daun sirih ulam Cik Da
Makan sekapur lalu mati
Walaupun banyak ilmu di dada
Biar merunduk resmi padi

Buah pelaga makan dikikir
Dibawa orang dari hulu
Sebarang kerja hendak difikir
Supaya jangan mendapat malu

Kemumu di tengah pekan
Dihembus angin jatuh ke bawah
Ilmu yang tidak diamalkan
Bagai pohon tidak berbuah

Tumbuh melata si pokok tebu
Pergi pasar membeli daging
Banyak harta tak ada ilmu
Bagai rumah tidak berdinding

Tulis surat di dalam gelap
Ayatnya banyak yang tidak kena
Jagalah diri jangan tersilap
Jikalau silap awak yang bencana

Hendak belayar ke Teluk Betong
Sambil mencuba labuhkan pukat
Bulat air kerana pembetung
Bulat manusia kerana muafakat

Pakai baju warna biru
Pergi ke sekolah pukul satu
Murid sentiasa hormatkan guru
Kerana guru pembekal ilmu

Lagu bernama serampang laut
Ditiup angin dari Selatan
Layar dikembang kemudi dipaut
Kalau tak laju binasa badan

Padi segemal kepuk di hulu
Sirih di hilir merekap junjungan
Kepalang duduk menuntut ilmu
Pasir sebutir jadikan intan.

Budak-budak berkejar-kejar
Rasa gembira bermain di sana
Kalau kita rajin belajar
Tentu kita akan berjaya

Jangan pergi mandi di lombong
Emak dan kakak sedang mencuci
Jangan suka bercakap bohong
Semua kawan akan membenci

Buah cempedak bentuknya bujur
Sangat disukai oleh semua
Jika kita bersikap jujur
Hidup kita dipandang mulia

Jikalau tuan mengangkat peti
Tolong masukkan segala barang
Jikalau anak-anak bersatu hati
Kerja yang susah menjadi senang

Asam kandis mari dihiris
Manis sekali rasa isinya
Dilihat manis dipandang manis
Lebih manis hati budinya

Kayu bakar dibuat arang
Arang dibakar memanaskan diri
Jangan mudah menyalahkan orang
Cermin muka lihat sendiri

Selasih tumbuh di tepi telaga
Selasih dimakan si anak kuda
Kasih ibu membaa ke syurga
Kasih saudara masa berada

Masuk hutan pakai sepatu
Takut kena gigitan pacat
Kalau kita selalu bersatu
Apa kerja mudah dibuat

Bandar baru Seberang Perai
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan tulang berkecai
Budi yang baik dikenang juga

Encik Dollah pergi ka Jambi
Pergi pagi kembali petang
Kalau Tuhan hendak membagi
Pintu berkancing rezeki datang

Orang haji dari Jeddah
Buah kurma berlambak-lambak
Pekerjaan guru bukanlah mudah
Bagai kerja menolak ombak

Pinang muda dibelah dua
Anak burung mati diranggah
Dari muda sampai ke tua
Ajaran baik jangan diubah

Terang bulan di malam sepi
Cahya memancar kepangkal kelapa
Hidup di dunia buatlah bakti
Kepada ibu dan juga bapa

Kapal kecil jangan dibelok
Kalau dibelok patah tiangnya
Budak kecil jangan di peluk
Kalau dipeluk patah tulangnya

Asal kapas menjadi benang
Dari benang dibuat kain
Barang yang lepas jangan dikenang
Sudah menjadi hak orang lain

Tengahari pergi mengail
Dapat seekor ikan tenggiri
Jangan amalkan sikap bakhil
Akan merosak diri sendiri

Kapal Anjiman disangka hantu
Nampak dari Kuala Acheh
Rosak iman kerana nafsu
Rosak hati kerana kasih

Tingkap papan kayu bersegi
Sampan sakat di Pulau Angsa
Indah tampan kerana budi
Tinggi darjat kerana bahasa

Anak Siti anak yang manja
Suka berjalan di atas titi
Orang yang malas hendak bekerja
Pasti menyesal satu hari nanti

KARANGAN FAKTA

Penyakit Gout... yang kita perlu tahu.

BERPANTANG makan, itu nasihat yang sering diberi kepada pesakit gout. Udang, sotong, ketam dan semua jenis makanan laut serta sesetengah `sayur sejuk' menjadi makanan larangan.

Namun, tidak dapat menahan selera, ramai juga yang terpaksa ingkar, walaupun tahu risiko bakal menunggu. Pemakanan tidak sihat dan seimbang boleh memburukkan keadaan pesakit gout.

Tergolong dalam kumpulan arthritis, gout sebenarnya penyakit metabolik yang menyebabkan asid urik berkumpul pada sendi, terutama pada kaki, dan menyebabkan rasa sakit.

Gout adalah bengkak sendi yang bermula pada tapak ibu jari kaki, menular ke sendi lain pada kaki dan tangan; menyebabkan penghidapnya berasa sangat sakit hingga ada yang tidak boleh berjalan.

Puncanya belum diketahui, tetapi ia dipercayai disebabkan kehadiran paras asid urik yang tinggi dalam darah hasil proses metabolisme purin (sebatian nitrogen untuk tenaga).

Asid urik biasanya dikumuhkan melalui air kencing dan najis; kegagalan mengeluarkan asid urik berlebihan dari badan boleh menyebabkan ia mendak dan berkumpul di sendi (tangan dan kaki), buah pinggang atau kulit.

Selain tabiat pemakanan, faktor umur dan jantina; biasanya lelaki (90 peratus) atau perempuan hampir menopaus adalah golongan paling berisiko mendapat gout.

Empat peringkat

Malah, penyakit ini boleh dihidapi pesakit kencing manis, obesiti, anemia, pesakit buah pinggang atau pengambilan ubat yang mengganggu engkumuhan asid urik pada kadar lima kes bagi setiap 1,000 orang.

Gout boleh dibahagikan kepada empat peringkat; asimptomatik (tiada simptom), akut, interkritikal dan kronik. Dalam kes akut, simptom gout berlaku secara cepat dan biasanya hanya membabitkan beberapa sendi.

Sendi yang diserang akan membengkak, panas dan merah, menyebabkan rasa sakit, khususnya pada waktu malam. Simptom ini boleh berlanjutan beberapa hari dan jika berulang, serangan mungkin berlaku lebih lama.

Serangan yang berlaku setiap tahun menandakan gout kronik yang menyebabkan kemerosotan sendi dan mengehadkan pergerakan pada anggota terbabit. Pemendapan urik asid (benjolan kecil dipanggil tophi) akan terbentuk di tisu kartilaj, tendon dan tisu lembut.

Pembentukan tophi ini biasanya berlaku selepas beberapa tahun pesakit menderita akibat gout selama beberapa tahun. Tophi juga boleh muncul di buah pinggang, yang akhirnya menyebabkan organ penting ini gagal berfungsi.

Simptom gout berlaku secara tiba-tiba, menyebabkan rasa sakit pada sendi sama ada paha, lutut, buku lali, tapak kaki, bahu, siku dan pergelangan tangan. Namun, radang sendi biasanya berlaku pada semua sendi kaki yang menyebabkan ia kejang, bengkak, merah dan pesakit boleh mengalami demam.

Untuk meredakan bengkak, rasa sakit dan radang gout, pesakit boleh mengambil ubat colchicine. Ia berfungsi mengurangkan radang akibat pengumpulan kristal asid urik, tetapi tidak merendahkan paras asid ini dalam darah.

Pengambilan harian colchicine atau allopurinol dapat menghalang serangan berulang. Pengambilannya boleh dihentikan apabila paras asid urik stabil (biasanya selepas tiga bulan).Manakala codeine atau analgesik lain juga antara ubat alternatif untuk melegakan kesakitan.

Bagi gout kronik, pengambilan ubat seperti probenecid atau sulfinpyrazone boleh merendahkan paras asid urik dalam darah. Manakala allopurinol akan menghalang pembentukan enzim yang merembeskan asid urik; secara tidak langsung membantu mengurangkan pengumpulan bahan ini dalam darah.

Malah, ketika ini pesakit juga perlu minum lebih banyak air untuk mengelakkan pembentukan batu karang atau beralih kepada diet rendah purin dengan mengurangkan pengambilan makanan kaya purin seperti organ haiwan, minuman keras dan beberapa jenis ikan. Antara yang perlu dihindari adalah makanan kaya dengan purin seperti bijirin, makanan laut, makanan berprotein tinggi, ikan bilis, minuman keras, kicap, teh dan kopi.

Sehingga kini, radang sendi tidak boleh dielak, walaupun kita tidak mengambil minuman keras atau makanan kaya purin. Justeru, pesakit gout perlu mematuhi jadual pengambilan ubat bagi membolehkan mereka menjalani rutian harian. Oleh kerana asid urik biasanya dikumuhkan melalui buah pinggang, maka gout kronik boleh menyebabkan pembentukan batu karang.

SAJAK

Guru Oh Guru

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetlaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakill seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Usman Awang
1979


BILA NAK PELUK ... DAN YANG AKU SUKA PELUK

Orang kata aku lahir dari perut ibu..
Bila dahaga, yang susukan aku.. ibu
Bila lapar, yang suapkan aku..ibu
Bila keseorangan, yang sentiasa di sampingku.. ibu
Kata ibu, perkataan pertama yang aku sebut.. Ma!

Bila bangun tidur, aku cari.. ibu
Bila nangis, orang pertama yang datang ..ibu
Bila nak bermanja.. aku dekati ibu
Bila nak bergesel... aku duduk sebelah ibu
Bila sedih, yang boleh memujukku hanya ibu
Bila nakal, yang memarahi aku ...ibu
Bila merajuk... yang memujukku cuma..ibu
Bila melakukan kesalahan... yang paling cepat marah..ibu
Bila takut... yang tenangkan aku .. ibu
Bila nak peluk... yang aku suka peluk..ibu

Aku selalu teringatkan ..Ibu
Bila sedih, aku mesti talipon... Ibu
Bila seronok... orang pertama aku nak beritahu...Ibu
Bila bengang.. aku suka luah pada ..Ibu
Bila takut, aku selalu panggil.. "ibuuuuuuuuuuuuu! "
Bila sakit, orang paling risau adalah ..Ibu
Bila nak exam, orang paling sibuk juga Ibu
Bila merajuk, yang datang pujuk aku juga.. Ibu
Bila buat hal, yang marah aku dulu..Ibu
Bila ada masalah, yang paling risau.. Ibu
Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni.. Ibu
Yang selalu masak makanan kegemaranku. . Ibu
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku, Ibu
Yang selalu berleter kat aku.. Ibu
Yang selalu puji aku.. Ibu
Yang selalu nasihat aku.. Ibu
Bila nak kahwin..
Orang pertama aku tunjuk dan rujuk... Ibu

Aku ada pasangan hidup sendiri
Bila seronok... aku cari pasanganku
Bila sedih... aku cari Ibu
Bila berjaya... aku ceritakan pada pasanganku
Bila gagal... aku ceritakan pada Ibu
Bila bahagia, aku peluk erat pasanganku
Bila berduka, aku peluk erat Ibuku
Bila nak bercuti... aku bawa pasanganku
Bila sibuk... aku hantar anak ke rumah Ibu
Bila sambut valentine.. Aku hadiahi bunga pada
pasanganku
Bila sambut hari ibu...
aku cuma dapat ucapkan Selamat Hari Ibu
Selalu ..... aku ingat pasanganku
Selalu... Ibu ingat kat aku
Bila..bila.. . aku akan talipon pasanganku
Entah bila.. ...aku nak talipon Ibu
Selalu ...aku belikan hadiah untuk pasanganku
Entah bila... aku nak belikan hadiah untuk Ibuku

KARYA NARATIF

Maafkan saya cikgu...

Saya mengajar di sekolah rendah di tengah2 bandaraya Kuala Lumpur. Saya mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari datang lambat ke sekolah. Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri.

Saya masih bersabar dengan keadaan pakainnya, tetapi kesabaran saya tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat. Pada mulanya saya hanya memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata2 kecuali anggukkan yang seolah2 dipaksa. Kali kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokannya. Kali ketiga saya terpaksa menjalankan janji saya untuk memukulnya kalau masih lambat. Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untuk dirotan . Airmata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya.

Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya memukulnya lagi. Namun ia masih tetap datang kesekolah dan masih tetap lambat.

Suatu hari saya bercadang untuk mengintipnya ke rumahnya. Setelah mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan rumahnya sangat daif. Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah.

Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki sedang berlari2 sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya. Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya yang terus bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah.

Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan. Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata yang mula tergenang.

“Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju tadi?”

Dia terkejut dan wajahnya berubah.

“Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu.” Jawabnya

“Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?”

” Mak pesan, jangan meminta2 pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang. Kalau cikgu nak pukul serahkan saja punggung kamu.”

Sambil menahan airmata yang mula berguguran saya memeluk anak itu, “Maafkan cikgu, …….”

Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba membantunya setakat yang mampu.

















Salam sejahtera diucapkan kepada semua yang sudi untuk melayari blogku ini. Gambar di atas ialah merupakan kumpulan pertama kumpulan PGSR BM ambilan Nov 2008. Kami adalah kumpulan Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah ( PGSR ) opsyen Bahasa Melayu yang sedang mengikuti program itu di IPG Kampus Temenggong Ibrahim. Program ini dijangka akan berakhir pada Dis 2012. Semoga kami semua akan berjaya menghabis dan merangkul ijazah yang diimpikan.